TANGGUH AKTIVITI LUAR BILIK DARJAH JIKA CUACA TERLALU PANAS - KPM

 

PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sudah diarah melaksanakan langkah pencegahan termasuk menangguh semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas.

KPM dalam kenyataan hari ini turut mengingatkan semua pihak terbabit memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.

Kementerian itu berkata, bagi kawasan yang bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang membabitkan murid hendaklah dihentikan.

“Memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

“Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan, membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.

“Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, KPM sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan.

Katanya, cuaca panas yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan IPU pada paras tidak sihat.

“Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

“Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing

“Selain mematuhi saranan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan pelajar serta warga institusi pendidikan.

KPM mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” katanya.

Previous Post Next Post